Operasi lupus anjing liar diperhebat

KUCHING– Operasi melupus anjing liar dan memberikan vaksin terus dipergiat susulan peningkatan kes rabies di negeri ini, dengan Samarahan dan Serian diisytiharkan sebagai kawasan terbaharu jangkitan rabies.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ketika ini kerajaan melalui Jabatan Veterinar Sarawak (DVS) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) dalam usaha memvaksin dan mengurangkan populasi dengan melupuskannya bagi mengawal penularan rabies.

Dr Rundi berkata DVS Sarawak dan Pasukan Immune Belt Enforcement Team (IBET) telah menetapkan sasaran 40,000 ekor anjing untuk divaksinasi di seluruh Sarawak pada tahun lepas, dan sehingga kini 37,254 ekor anjing telah berjaya divaksinasi.

“Tahun ini kami mensasarkan untuk memberi vaksin sehingga 50,000 ekor anjing. 

“Sejak tahun 2017, jumlah anjing yang telah divaksin oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dan Pasukan ‘Immune Belt Enforcement Team’ (IBET) di seluruh Sarawak ialah 247,267 ekor anjing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kawasan yang diisytiharkan sebelum ini masih kekal sebagai kawasan jangkitan rabies termasuk Kuching dan Bintulu. 

“Sebanyak 133 sampel telah diuji dan hasilnya 20 haiwan didapati positif rabies

“Sebanyak 10 kes wabak rabies telah dikesan di Kuching, manakala tiga kes dikesan di Padawan, satu kes masing-masing di Samarahan, Bau dan Tebedu serta dua kes masing-masing di Bintulu dan Sebauh. 

Dr Rundi menasihatkan pemilik anjing mesti bertanggungjawab memastikan haiwan kesayangan mereka divaksin dengan vaksin anti-rabies atau berdepan denda sehingga RM2,500 jika ingkar.
Next Post Previous Post