Undang-undang selia Pelabuhan Bintulu dibentang di DUN Mei ini

KUCHING— Rang undang-undang (RUU) bagi menubuhkan Lembaga Pelabuhan Berpusat Sarawak akan dibentangkan pada 
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Mei ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dengan adanya undang-undang tersebut kerajaan negeri boleh menyelia pelabuhan di Sarawak termasuklah Pelabuhan Bintulu.

“Kerajaan akan mencadangkan undang-undang yang membolehkan penubuhan Lembaga Pelabuhan Berpusat nanti.

“Ketika ini, kita sudah mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan Persekutuan, namun masih belum memutuskan cadangan nama bagi penubuhan tersebut.

“Bermakna dengan adanya penubuhan tersebut kita akan mengambilalih Pelabuhan Bintulu dan menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai perhentian kepada semua pelabuhan-pelabuhan yang ada di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Pada 8 Jan lalu, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak memaklumkan, Kementerian Pengangkutan Malaysia akan membentangkan Rang Undang-Undang pemansuhan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 pada Sesi Persidangan Parlimen tahun ini.

Ia bagi memastikan operasi Pelabuhan Bintulu tidak terkesan dan terganggu oleh proses pertukaran status selepas pengambil alihan oleh kerajaan Sarawak, menurut Berita Harian.

Kerajaan Sarawak pula akan mewujudkan Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) mengikut Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini dilaporkan menyerahkan Pelabuhan Bintulu kerajaan Sarawak berkuat kuasa Jun ini.

Pelabuhan ini merupakan pintu masuk maritim utama ke Malaysia Timur dengan lebih 7,000 kapal berlabuh setiap tahun.

Abang Johari sebelum ini berkata, langkah berkenaan akan membolehkan pelabuhan itu diurus dan dimajukan lagi sebagai pelabuhan negeri sekali gus mengubahnya sebagai hab pengangkutan di rantau Asia Pasifik.

Katanya, Bintulu akan menjadi tempat tumpuan bagi industri penyerapan, penggunaan dan penyimpanan (CCUS) karbon baharu negeri serta penghasilan hidrogen dan biobahan api lain.
Next Post Previous Post