Datuk Mutang Tagal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20

KUALA LUMPUR— Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas Senator Datuk Mutang Tagal catat sejarah pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara hari ini.

Beliau menggantikan Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan bagi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak bulan lalu.

Pelantikan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan nama beliau, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dilantik.

“Beliau merupakan anak jati Sarawak, berasal dalam kalangan etnik Lun Bawang.

“Ini adalah satu lagi pelantikan bersejarah dan komitmen berterusan Kerajaan Madni dalam mengiktiraf dan memastikan suara, pandangan dan perwakilan dari semua kalangan rakyat termasuk Orang Ulu di Parlimen,” katanya dipetik Astro Awani.

Mutang merupakan bekas Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990 mempunyai latar belakang sebagai seorang pengamal undang-undang yang kini aktif dalam perniagaan sebagai Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI).

Terdahulu, beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 15 Februari 2024 sehingga 14 Februari 2027.

Lantikan beliau adalah merupakan lantikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Mutang kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ahli Majlis sebelum menyampaikan ucapan sulungnya dalam Dewan Negara.

Dalam ucapannya, beliau merafak sembah terhadap Yang di-Pertuan Agong dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Premier Sarawak yang mencadangkan nama beliau kepada Anwar.

“Saya kira masih belum terlewat juga untuk saya merakamkan setinggi ucapan tahniah kepada Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-19, Tuan Yang Terutama Tun Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar di atas lantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Kini saya diberi kepercayaan untuk kembali berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-20 dan dengan pengalaman dan pengetahuan saya serta sokongan padu daripada Ahli Yang Berhormat sekalian serta sokongan padu daripada Badan Eksekutif, saya akan memberikan khidmat yang terbaik kepada Parlimen dan juga rakyat Malaysia.

“Kali terakhir saya berada di Parlimen ini adalah pada tahun 1990 semasa saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, yang kini dikenali sebagai Lawas dan Limbang. Walaupun tidak lagi berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, saya masih berpeluang berkhidmat kepada rakyat, khususnya rakyat di negeri Sarawak,” katanya.
Next Post Previous Post