ASP, Sarjan ditahan kes samun lebih RM5,000

Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU— Pegawai polis berpangkat berpangkat Asisten Superintenden (ASP) dan seorang sarjan diberkas berhubung kes samun seorang lelaki di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) membabitkan kerugian bernilai RM5,150.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, penahanan itu selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa di Balai Polis Gong Badak pada 3 Februari lalu.

Mangsa telah dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak Petronas di Wakaf Tembesu pada 1 Februari lepas untuk mengeluarkan duitnya sebanyak RM5,000.

“Identiti kedua-dua suspek berjaya dikenal pasti hasil siasatan pihak polis melalui pengecaman gambar terhadap suspek dan rekod kamera litar tertutup (CCTV) sebelum membawa kepada penahanan mereka,"

"Pada 3 Februari lalu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak berhubung kejadian terbabit pada jam 1.16 petang,” katanya memetik Sinar Harian.

Mazli berkata, suspek pertama berjaya ditangkap sejurus laporan dibuat manakala suspek kedua ditahan pada 4 Februari.

Suspek pertama telah direman selama tujuh hari manakala suspek kedua pula direman selama empat hari bagi siasatan lanjut mengikut 
 Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini tular di media sosial mangsa mendakwa didatangi dua lelaki berpakaian preman menaiki kenderaan dengan logo PDRM, disyaki pegawai dan anggota polis

Menurut Berita Harian, suspek didakwa meminta wang sebanyak RM20,000 bagi membersihkan nama mangsa yang dikatakan berada dalam senarai untuk dibuang daerah.

Bagaimanapun, mangsa hanya mengeluarkan RM5,000 di ATM di sebuah stesen minyak di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus sebelum menyerahkan RM150 lagi kepada kedua-dua suspek.
Next Post Previous Post