Tiada mayat, rangka manusia dalam perut buaya
Kuching—Tiada sebarang penemuan mayat atau rangka manusia di dalam perut buaya yang ditangkap di di Lorong 2C Samariang Aman, malam tadi.
Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam kenyataan berkata, buaya jantan dianggar sepanjang berukuran 11 kaki dan anggaran seberat 250 kilogram (kg) itu ditangkap kira-kira jam 10.30 malam.
“Proses bedah siasat oleh pakar dari SFC hari ini telah menemui plastik sampah, sampah sarap dan sisa haiwan termasuk ayam yang digunakan sebagai umpan di dalam perut buaya tersebutm” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu SFC menyeru semua komuniti yang tinggal berhampiran dengan sungai, agar tidak lagi menjadikan sungai tempat membuang sampah kerana akan mengundang buaya ke kawasan tersebut.
Bermula pada 26 Disember 2023 sehingga 6 Januari ini, SFC menjalankan operasi menangkap buaya di sekitar kawasan Sungai Samariang.
Operasi ini juga bertujuan menangkap buaya yang telah bertanggungjawab ke atas serangan yang berlaku baru-baru ini.
Pada 23 Disember lalu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut dibaham buaya ketika menjala bersama rakan-rakannya di sungai berhampiran Taman Samariang Aman, Kuching.
Keesokkan harinya, mayat remaja itu ditemui oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya di hilir sungai itu jam 11 pagi di lokasi kira-kira dua kilometer dari mangsa disambar buaya.
Gambar ihsan SFC