Lelaki keluar berburu ditemui mati lemas

PAKAN -- Seorang lelaki yang keluar berburu pada pagi Ahad lalu ditemui mati lemas di tepian Sungai Ipoh petang tadi.

Jurucakap Pasukan Bravo BBP Bintangor berkata, mayat mangsa Luju Jugie, 48, ditemui pasukan SAR pada jam 3 petang tadi pada jarak 2 kilometer dari lokasi mangsa dikhuatiri hilang.

"Maklumat awal yang diperoleh mendapati mayat mangsa dipercayai dihanyutkan air akibat arus deras sungai selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan," ujarnya.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepad Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Sekitar jam 9 pagi pada 31 Disember lalu, mangsa dikatakan keluar berburu di kawasan hutan berhampiran rumah panjang.

Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, maka isteri mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya itu pada jam 8.18 pagi tadi di Balai Polis Pakan bagi bantuan pencarian sebelum mayat suaminya itu dijumpai di tepi sungai jam 3 petang tadi.

Gambar BBP Bintangor
Next Post Previous Post