Mayat lelaki tanpa identiti dijumpai di Kampung Selang Laut, Telaga Air

KUCHING-- Satu mayat lelaki tanpa identiti dijumpai di kawasan semak Kampung Selang Laut, Telaga Air malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat tersebut sekitar jam 9.30 malam.

"Pemeriksaan awal mendapati mayat seorang lelaki dijumpai di kawasan semak dalam keadaan terlentang dan dipercayai telah meninggal dunia lebih kurang 2 hari.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada tubuh mangsa di jumpai dan identiti mangsa masih belum dikenal pasti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Tegasnya kes di siasat sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil bagi membantu siasatan. 

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233 atau Insp Shahrul Hafizy, Ketua Polis Balai Batu Kawa di talian 013-2299699," ujarnya.
Next Post Previous Post