Suri rumah rugi RM860,000 kena ‘kencing’ scammer

SIBU — Seorang suri rumah mengalami kerugian RM860,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud menerusi media sosial pada Oktober lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mancha Ata berkata, wanita berusia lewat 40-an itu telah tertarik dengan iklan pelaburan wang di laman Facebook.

Beliau berkata, mangsa kemudian telah menekan pautan Whatsapp pada iklan tersebut sebelum berurusan dengan perempuan dikenali sebagai Susan. 

“Selepas itu nombor telefon mangsa telah dimasukkan ke dalam group Whatsapp dan mangsa diberikan penerangan berkenaan pelaburan berasaskan pembelian saham dengan keuntungan 21 peratus.

“Mangsa melakukan 16 transaksi pemindahan wang keseluruhan kira-kira RM918,000 ke enam akaun bank atas nama syarikat yang berbeza pada November lepas sehingga bulan ini untuk pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut mangsa, dia hanya memperolehi keuntungan sebanyak RM54,000 sepanjang menyertai pelaburan tersebut. 

“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah gagal mengeluarkan wang keuntungan melalui aplikasi dan nombor telefon turut disekat oleh suspek. Nilai kerugian berjumlah lebih kurang RM860,000,” kata Mancha.

Susulan itu mangsa telah membuat laporan polis di sini semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Next Post Previous Post