Komunikasi buka minda rakyat

KUCHING— Rakyat di negeri ini perlu menerima laporan penerangan tentang perancangan, inisiatif dan strategi yang telah dilaksana oleh kerajaan Sarawak bagi menilai sendiri keberkesanannya.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, melalui komunikasi berkesan yang berterusan, rakyat bukan sahaja dapat memahami isu-isu yang sedang dihadapi oleh negeri ini, malah akan dapat mengetahui dengan jelas bagaimana peruntukan kerajaan digunakan dan bagaimana keputusan dibuat demi masa depan Sarawak.

Ujarnya, ini membolehkan rakyat menjadi lebih terdidik mengenai isu-isu semasa, seterusnya lebih cenderung untuk turut serta dalam usaha-usaha yang dilakukan lapor Edisi UKAS.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa menghadiri program ‘Sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier’ anjuran TVS, bertempat di Hikmah Exchange, di sini pada Sabtu.

Menurut Dato Sri Alexander, selain membina masyarakat yang lebih berpengetahuan dan bertanggungjawab, townhall seumpamanya diyakini dapat memperkukuhkan kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap kerajaan.

“Bagi saya, dengan menghadiri sesi Townhall seperti ini, kita dapat mendengar dengan jelas perkongsian Premier Sarawak dari mula beliau merancang pelbagai inisiatif sehingga semuanya sangat berhasil.

“Kita dapat melihat betapa telitinya strategi dan perancangan kerajaan untuk mencapai kegemilangan yang bukan sahaja mengambil kira keperluan Sarawak, malah turut memberi impak positif di persada antarabangsa,”katanya.
Next Post Previous Post