Diumpan untung besar, wanita di Miri rugi RM60,000

MIRI— Seorang kerani swasta kerugian sebanyak RM60,000 selepas termakan umpan ‘scammer’ yang menjanjikan komisen tinggi dengan bekerja sambilan dalam talian sebagai peniaga.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa iaitu perempuan tempatan berusia 40-an ditawarkan bekerja dari aplikasi ‘Asia Shopping’ yang menjanjikan komisen.

“Mangsa telah membuat urusan urusan kerja sambilan secara atas talian dengan melakukan tugasan seperti membeli dan menjual barangan yang tidak wujud sebagai peniaga.

“Mangsa kemudian membuat pengeluaran hasil komisen sebanyak RM5,000 namun bakinya tidak dapat dikeluarkan atas alasan tidak mengikuti arahan perkhidmatan pelanggan.

“Sehubungan itu, mangsa membuat 11 kali transaksi ke akaun bank pihak ketiga yang diberikan suspek berjumlah RM60,000,”kata Alexson dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, mangsa hanya sedar ditipu selepas komisen yang dijanjikan masih belum diperolehi.

Alexson menambah, mangsa kemudian membuat laporan polis pada Jumaat lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Next Post Previous Post