Orang mati pun "mungkin" boleh hidup semula dihenjut lubang jalan Kuala Balingian

Seperti baru kena bom…Sebahagian jalan raya Kuala Balingian yang berlubang dan rosak teruk.

BALINGIAN—Atlet Sukma mungkin terpaksa melalui jalan berlubang yang boleh menghidupkan semula orang mati jika Jabatan Kerja Raya (JKR) gagal memantau projek.

Jalan yang disifatkan netizen sebagai jalan raya selepas kena bom itu bakal menjadi laluan penghubung atlet yang bergerak dari Mukah ke Bintulu untuk Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 pada Ogos depan.

Kisah orang mati hidup semula ini selepas dihenjut lubang jalan bukan rekaan semata-mata.

Minggu lalu, laman berita Oddity Central melaporkan seorang lelaki di Haryana, India yang mati hidup semula selepas ambulans yang membawa ‘mayatnya’ terjatuh ke dalam lubang jalan, menyebabkan warga emas berusia 80 tahun itu kembali bernafas.

Darshan Singh Brar, sebelum itu diisytiharkan meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya selepas mengalami jangkitan pada dada yang teruk.

Namun, ketika ambulas yang membawa Darshan melalui sebatang jalan di daerah Kaithal, kenderaan itu terjatuh ke dalam jalan berlubang yang dalam.

Beberapa minit kemudian, saudara lelaki Balwan yang memerhatikan mayat Darshan menyedari datuknya mula bergerak.

Dia dengan segera memeriksa nadi lelaki itu dan selepas mendapati Darshan masih bernyawa, pasukan ambulans terus membawanya ke hospital terdekat.

Sementara itu, dalam isu yang berkaitan Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo membidas JKR gagal mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor menyebabkan kelewatan projek menaiktaraf jalan dari Jambatan Balingian ke Kuala Balingian.

Datuk Ir Aidel (kanan) dan Abdul Yakub semasa meninjau tapak projek. Gambar kredit UKAS

“Projek yang merupakan salah satu dari tiga pakej projek jalan pesisir di kawasan Balingian mengalami kelewatan hampir 30 peratus.

“Jalan tersebut perlu disiapkan segera sebelum penganjuran SUKMA untuk pergerakan semua atlet dari Bintulu ke Mukah di mana bahagian itu turut menjadi tuan rumah untuk tiga acara sukan.

“Jadi kalau jalan ini tidak siap, susahlah atlet nak melaluinya dengan jalan yang teruk,” katanya menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Datuk Ir Aidel berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja rasmi di Kuala Balingian pada Selasa.

Aidel berharap pihak JKR mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan kontraktor itu dapat menyiapkan (projek) mengikut sasaran.

Beliau memberitahu JKR untuk meminta kontraktor terbabit menyediakan ‘catch up plan’ yang realistik yang dapat dipenuhi mereka.

Namun jika kontraktor masih gagal, beliau meminta JKR untuk memulakan ‘termination review’ untuk memastikan sama ada kontraktor tersebut mampu untuk meneruskan atau tidak projek berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata dua lagi projek di Balingian iaitu naiktaraf jalan dari Kuala Balingian ke Kuala Serupai dan naiktaraf bulatan di Balingian berjaya mendahului jadual.

“Kita sangat optimistik kontraktor akan dapat menyiapkannya tidak lama lagi, dalam tahun inilah berdasarkan jadual atau lebih tepat mendahului jadual sebenar,” tambah beliau.

Secara keseluruhan, terdapat 23 pakej menaiktaraf telah dibuat dan telah bermula beberapa tahun lepas untuk kesemua jalan pesisir yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak yang meliputi bahagian Kuching hingga ke Miri.

Bahagian Mukah merupakan dalam pakej jalan pesisir yang paling panjang melibatkan lapan pakej menaiktaraf termasuk tiga di kawasan Balingian.
Next Post Previous Post