Dua lelaki ditangkap kes kematian di kebun ternak ayam di Lambir

MIRI-- Dua lelaki ditangkap susulan kes kematian seorang lelaki di kebun penternakan ayam di Lambir semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua suspek berusia 36 dan 46 tahun ditangkap untuk membantu siasatan.

"Kes ini diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson memberitahu, semalam, polis menerima satu laporan dari orang awam sekitar jam 10.29 malam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki tempatan terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah kebun penternakan ayam di Lambir.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk menerima rawatan. 

"Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah Miri telah bergegas ke Hospital Miri untuk mengesahkan kejadian tersebut. 

"Setibanya pasukan polis di Hospital Miri, pihak hospital mengesahkan mangsa telahpun meninggal dunia," katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa kesan kecederaan pada kepala dan badan mangsa.

Susulan itu, katanya,BSJD Miri menahan dua lelaki warga tempatan untuk membantu siasatan. 

"Oleh itu, polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan. 

"Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi ASP Lee Chee Keat di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan," ujarnya.
Next Post Previous Post