‘Jerung’ dadah Sabah bergelar Datuk didakwa

Anggota kartel dadah terbesar di Sabah termasuk dalang bergelar Datuk dikawal ketat semasa tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini. Gambar kredit Info x

KOTA KINABALU— Ahli perniagaan bergelar Datuk antara 11 individu yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Menurut pertuduhan, tertuduh pertama dan kedua iaitu Rahman Burijin, 44, dan Jaysalfian Jaineh@Zaini, 45, antara 2018 dan 24 Disember 2023 di Kota Kinabalu telah menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Upik'.



Tertuduh ketiga pula, Mohd Fauzie Rablin, 33, dituduh antara 2022 dan 24 Disember 2023, keempat dan kelima, Shahlan Shah Abdul Samad, 37, dan Maslan Sani, 41, dituduh antara 2015 dan 24 Disember 2023, tertuduh keenam, Nelson Yen Yee Chung, 46, tertuduh ketujuh dan kelapan, Mohd Faridzul Asmahadi, 31, dan Fazrul Bahar, 32, dituduh antara 2020 dan 24 Disember 2023, tertuduh kesembilan, Alkan Abraham, 35, dituduh antara 2015 dan 24 Disember 2023 manakala dua lagi tertuduh iaitu Maslan Mahmud dan Mahathir Jibarail masing-masing berumur 49 tahun dituduh antara 2018 dan 24 Disember 2023.

Kesemua mereka dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Upik' dan didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum seksyen yang sama.

Berdasarkan pertuduhan, masing-masing terduduh didakwa melakukan kesalahan bermula 2015 hingga 24 Disember tahun lalu.

Kesemua tertuduh dibacakan pertuduhan tanpa direkodkan sebarang pengakuan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim, menurut Sinar Harian.

Noor Hafizah menetapkan 1 Mac depan sebagai sebutan semula kes sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Tiada ada jaminan ditawarkan kepada semua tertuduh.

Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazron Mohd Sham, Siti Hajar Mat Radzi dan Nur Ainaa Ridzuan.

Media sebelum ini melaporkan pada 25 Disember lalu, polis menahan ahli perniagaan bergelar datuk yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah menerusi siri serbuan yang dilakukan polis Bukit Aman.

Lelaki itu turut menaungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan haram sejak 2015.

Sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.
Next Post Previous Post