Jawatan speaker Dewan Negara kosong, Anwar

PETALING JAYA— Satu pertemuan sekretariat kerajaan perpaduan akan diadakan malam ini untuk membincangkan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Negara yang baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memetik Free Malaysia Today, ia bagi mempercepat pelantikan speaker Dewan Negara yang baharu.

Pertemuan itu diadakan selepas Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melepaskan jawatan sebagai Speaker Dewan Negara.

Terdahulu Anwar berkata, Yang di-Pertua Negeri Sarawak baharu dijangka diumumkan dalam minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Saya telah kemukakan nama calon itu kepada Yang di-Pertuan Agong minggu lalu dan itu telah diperkenan dan akan diumumkan mungkin satu dua hari ini," katanya hari ini.

Desas-desus bertebaran bahawa Wan Junaidi bakal dilantik sebagai Yang di-Pertua Sarawak kelapan menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud.

Namun sehingga saat ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.

Malah Kerajaan Sarawak turut mengambil pendirian tidak memberikan sebarang komen berhubung perkara itu.

Perkhidmatan Tun Abdul Taib Mahmud sebagai TYT Negeri Sarawak ketujuh akan tamat pada 28 Februari depan. 

Untuk rekod, Abdul Taib merupakan TYT Negeri Sarawak yang ketujuh dan telah memegang jawatan tersebut selama 10 tahun.

Sebelum itu beliau merupakan Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan berkata, terpulang kepada cadangan daripada Kerajaan Negeri dan Yang Di-Pertuan Agong untuk melanjutkan tempoh pemerintahan beliau atau tidak.

“Desas-desus pelantikan Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak kelapan hanya ramalan.

“Tetapi ramalan kadang-kadangnya betul, kadang-kadangnya tidak betul. Sama macam ramalan cuaca juga,” katanya dipetik Astro Awani.

Abdul Karim berkata, beliau difahamkan Wan Junaidi akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung peletakan jawatannya itu dalam masa terdekat.

Jumaat lepas, tular berita yang tular mengenai peletakan jawatan Wan Junaidi yang sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, pada Jumaat, yang dikaitkan dengan pelantikannya sebagai TYT Negeri Sarawak yang baharu.
Next Post Previous Post