Agong perkenan calon TYT Sarawak, bakal umum minggu ini, Anwar

KUALA LUMPUR— Yang di-Pertua Negeri Sarawak baharu dijangka diumumkan dalam minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengemukakan nama calon kepada baginda minggu lalu dan dijangka akan diumumkan dalam masa sehari dua.

"Proses pelantikan TYT Sarawak seperti kita tahu adalah atas budi bicara Agong dan telah dikemukakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Saya telah kemukakan nama calon itu kepada Yang di-Pertuan Agong minggu lalu dan itu telah diperkenan dan akan diumumkan mungkin satu dua hari ini," katanya.

Anwar berkata demikian selepas merasmikan Program Wacana Pemikir Universiti Malaya bertemakan 'The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia' di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Tun Taib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh pada 1 Mac 2014, menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Tempoh perkhidmatan beliau akan tamat pada 28 Feb ini.

Media massa sebelum ini melaporkan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar meletak jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang dikaitkan dengan pelantikan sebagai TYT Sarawak yang baharu.
Next Post Previous Post