Jawatankuasa Teknikal MA63 disusun semula - Fadillah

TPM Fadillah mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan perkara berkaitan MA63.

KUCHING-- Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63) akan distruktur semula.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini bagi membolehkan perkara berbangkit daripada perjanjian itu dibincangkan dan diberi perhatian sewajarnya.

Jelasnya, penyusunan semula itu diperlukan kerana Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali tidak lagi bertanggungjawab dalam hal ehwal Sabah dan Sarawak susulan rombakan Kabinet Persekutuan, Disember lalu.

Untuk rekod Armizan kini memegang portfolio sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

"Kita perlu menyusun semula struktur tersebut dan kemudian kita panggil mesyuarat untuk membentangkan kertas kerja yang baharu," katanya kepada pemberita semasa lawatan di Tuaran, Sabah baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada MTPMA63 telah membincangkan mekanisme pelaksanaan bagi pembayaran balik 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah.

Fadillah berkata penstrukturan semula JKMTPMA63 antara lain membawa kembali Armizan ke jawatankuasa itu.

Fadillah dan Hajiji sepakat untuk menyusun semula Jawatankuasa Teknikal MA63 bagi membolehkan perkara berbangkit daripada perjanjian itu dibincangkan dan diberi perhatian sewajarnya.

Katanya, beliau telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan membincangkan perkara berkaitan MA63.

"Kami telah duduk untuk mendapatkan arahan daripada beliau (Hajiji). Dan apa yang saya akan lakukan setakat MA63 berkenaan (ialah) akan mendapatkan kedua-dua Armizan dan juga (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) Datuk Ewon Benedick untuk duduk dalam jawatankuasa itu.

"Bermula dari situ, kita akan mulakan perbincangan," kata Fadillah yang juga bertanggungjawab dalam hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Pada Disember tahun lalu, Ewon, yang juga ahli MTPMA63 dan JKMTPMA63, mencadangkan rangka mekanisme untuk pembayaran balik 40 peratus daripada hasil Persekutuan kepada Sabah dan akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan Persekutuan dan Sabah.

Ahli Parlimen Penampang itu berkata rangka kerja mekanisme yang dicadangkan itu mengambil kira isu teknikal berkaitan ketersediaan data berkaitan kutipan hasil Persekutuan di Sabah sejak 1974, bertujuan untuk pendekatan yang lebih praktikal dan bergerak ke hadapan.
Next Post Previous Post