Pendidikan Tinggi Percuma Untuk Anak Sarawak Realistik

Pemimpin mesra rakyat…Premier Abang Johari merakam gambar bersama rakyat pelbagai kaum semasa merasmikan Penutupan Pesta Benak di Sri Aman. Beliau pada majlis itu turut mengumumkan pendidikan tertiari percuma di IPT milik Sarawak menjelang 2026.

KUCHING-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg disifatkan seorang pemimpin mahakarya dan realistik apabila bercakap tentang pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak.

Mana tidaknya apabila beliau bercakap beliau akan memberi perincian yang berfakta dan tarikh untuk melaksanakannya.

Ini menjadikan Abang Johari seorang pemimpin yang amat konsisten tentang pendiriannya untuk mewujudkan peluang pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak.

Usaha ini juga selari dengan hala tuju Sarawak untuk melahirkan lebih ramai modal insan berpengetahuan tinggi termasuk dalam bidang teknikal dan kemahiran bagi memenuhi industri baharu yang mesra alam. 

Mengenai Pendidikan Tinggi Percuma

Kerajaan Sarawak komited untuk merealisasikan hasrat menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak menjelang tahun 2026.

Abang Johari sebelum ini memberitahu, pendidikan percuma kepada rakyat Sarawak itu khas untuk pelajar yang belajar di universiti dimiliki Sarawak.

Beliau telah meminta Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Roland Sagah dan timbalannya Datuk Dr Annuar Rapaee untuk melihat dan membuat kajian ke arah tersebut.

"Kalau mengikut angka dan kajian MEITD dan dengan syarat Sarawak dipimpin oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) kita dapat membantu negeri ini.

"Sekiranya tiada masalah, saya fikir untuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) iaitu tahun 2025 atau 2026, kita akan sediakan secara percuma untuk pendidikan tinggi dan saya komited ia dilaksanakan pada tahun 2026," katanya.

Jelasnya, beliau komited melaksanakan hasrat ini memandangkan kekuatan ekonomi Sarawak kini begitu baik yang mana pada tahun 2023 Sarawak berjaya merekodkan hasil pendapatan mencecah RM13.1 bilion.

Difahamkan kira-kira 25,000 pelajar di Sarawak melanjut pengajian tinggi di institusi pendidikan tinggi dan universiti milik Sarawak akan menerima manfaat daripada dasar tersebut.

Jika dasar pendidikan tinggi percuma itu sudah terlaksana kelak, maka Sarawak akan menjadi negeri pertama di Malaysia menyediakan pendidikan percuma untuk rakyatnya.

Perlu Kajian Menyeluruh

Untuk melaksanakan dasar ini, Sarawak perlu menjalankan kajian yang menyeluruh supaya dasar itu dapat dilaksanakan dengan jaya dan bertahan lama.

"Ketika kita bercakap tentang pelaburan untuk sumber manusia, dana yang stabil dan kukuh haruslah ada termasuk perancangan serta keadaan ekonomi yang kukuh," kata Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Saidatulakmal Mohd dipetik dalam laporan portal Channel News Asia.

Manakala Ketua Pendidikan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Zaimuariffudin Shukri Nordin berkata, dianggarkan 2.9 juta penduduk di Sarawak yang mana hampir sejuta adalah mereka berusia 24 tahun pada 2020.

"Sarawak akan menjadi negeri pertama menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada rakyatnya.

"Kerajaan negeri sedang berusaha ke arah itu untuk memberikan semula kekayaan Sarawak kepada rakyatnya dalam masa sama melahirkan bakat baharu dalam kalangan anak Sarawak," tambahnya.

Bukan Gimik Politik

Langkah ke hadapan…Premier Abang Johari berperanan penting memperkenalkan kursus baharu di Swinburne Kampus Sarawak antaranya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan undang-undang Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Pengenalan dasar pendidikan tinggi percuma juga bukanlah gimik politik kerajaan Sarawak untuk meraih sokongan anak-anak muda ketika Pilihan Raya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah berikrar kepada rakyat bahawa ia akan melaksanakan dasar pendidikan tinggi percuma pada pilihan raya negeri lalu pada 2021.

Keputusan itu katanya, hanya dibuat selepas gabungan itu memenangi pilihan raya.

“Saya mahu anda menekankan bahawa kerajaan GPS tidak pernah menjanjikan ini. 

"Kami tidak pernah bercakap mengenai perkara ini semasa kempen pilihan raya. Dasar itu dibuat selepas GPS memenangi pilihan raya pada 2021.

“Malah, kami tidak pernah mempolitikkan dasar ini. Kami tidak pernah berjanji ini semasa kempen pilihan raya kami. Dan dasar ini akan dilaksanakan sebelum pilihan raya negeri akan datang pada 2026,” katanya.

Keputusan itu tegas beliau adalah semata-mata untuk kepentingan rakyat Sarawak, khususnya dalam membangunkan bakat dan kemahiran mudanya.

Beliau berkata, Sarawak tidak mampu kehilangan bakat mudanya hanya kerana latar belakang sosioekonomi tidak mengizinkan mereka melanjutkan pelajaran.

Justeru, katanya, GPS sebagai parti pemerintah yang mentadbir kerajaan negeri, harus menyediakan cara untuk membantu pelajar Sarawak terutamanya daripada isi rumah berpendapatan rendah untuk mengakses pendidikan tinggi.

Dr Annuar juga percaya dasar itu akan menggalakkan anak-anak muda Sarawak di sekolah untuk memupuk kesedaran tentang apa yang perlu mereka lakukan demi mencapai impian mereka.

Ini akan mendorong pelajar, terutamanya pelajar miskin, untuk belajar bersungguh-sungguh kerana apabila mereka tahu mereka mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan milik kerajaan, mereka boleh merancang apa yang patut mereka lakukan untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran.

Pendidikan Percuma Disambut Baik Perdana Menteri 

Pada awal Jun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya pendidikan tinggi percuma harus diberikan kepada semua rakyat Malaysia kecuali golongan mahakaya.

Bagaimanapun, kerajaan persekutuan dilihat tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan dasar tersebut berikutan keadaan semasa ekonomi negara.
Next Post Previous Post