Naik taraf jalan balak Lemanak

LUBOK ANTU— “Sekiranya kerajaan enggan membina jalan untuk kami, sekurang-kurangnya jalan balak yang ada dinaik taraf dan diselenggara dengan baik.”

Seorang penduduk dari Rumah Mujah, Nanga Menyebat Mit Lemanak, Thomas Majing, 43, berkata, sudah berpuluh tahun penduduk rumah panjang di kawasan tersebut terpaksa melalui jalan tanah yang kerap rosak dan berbahaya terutama ketika musim hujan.

Beliau berkata, mereka tiada pilihan kerana ia satu-satunya laluan untuk ke pekan Engkilili.

“Sebelum adanya jalan balak ini, penduduk terpaksa menggunakan perahu melalui Sungai Lemanak yang mengambil masa antara 3 hingga 4 jam. 

“Namun keadaan jalan balak yang jarang diselenggara dan kerap rosak terutama pada musim hujan menyebabkan penduduk rumah panjang terpaksa menempuh perjalanan yang panjang hampir tiga jam.

“Kami amat berharap kerajaan dapat menaik taraf laluan balak ini kerana kerja-kerja penyelenggaraan sekarang dibuat seperti melepas batuk di tangga,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.

Beliau meluahkan rasa kecewa kerana kerajaan seolah-olah tidak mendengar keluhan rakyat di kawasan itu yang amat memerlukan sistem jalan yang selesa dan baik seperti kawasan lain.

“Kami tidak tahu sampai bila menunggu jalan ini diperbaiki. Sejak datuk, nenek kami masih hidup sehingga ramai sudah meninggal dunia, kawasan ini belum ada akses jalan raya yang baik.


Terdahulu, Thomas dalam hantaran di Facebook memohon perhatian daripada wakil rakyat di kawasan Lubok Antu agar mendengar keluhan penduduk dengan mengambil langkah sewajarnya untuk menaik taraf jalan balak tersebut.

“Kami merayu agar wakil rakyat mendengar keluh-kesah kami di pedalaman,” katanya.

Kredit Gambar Thomas Majing
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.