Pegawai penguatkuasa di Lawas didakwa rasuah

Pegawai penguatkuasa di Lawas memasuki Mahkamah Khas Rasuah Limbang hari ini.

LIMBANG -- Seorang pegawai penguat kuasa di sebuah jabatan kerajaan di Lawas didakwa atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM22,750 di Mahkamah Khas Rasuah Limbang hari ini.

Tertuduh, berusia 39 tahun,berasal dari Limbang didakwa melindungi syarikat pengangkutan lori daripada dikenakan tindakan undang-undang dalam perbuatan yang dilakukan antara Januari 2019 hingga Disember 2020.

Bagaimanapun, tertuduh , tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah Limbang Steve Ritikos.

 Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan pada Januari hingga Disember 2019, dan Januari hingga Disember 2020

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM7 ribu dengan dua penjamin.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Noor Afiqah Yusuf.

Sebutan kes akan dilakukan pada pada 25 Mac tahun depan.

Dalam kes berasingan, seorang pegawai keselamatan dari sebuah agensi kerajaan di sini mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM500 daripada seorang individu.

Kesalahan itu dilakukan ketika tertuduh masih bertugas di jabatan kerajaan di Lawas pada Mei 2019.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh l menerima rasuah daripada seorang individu agar tindakan tidak diambil berhubung pembaharuan alat pemadam api.

Tertuduh juga memohon mahkamah meringankan jumlah denda daripada RM5 ribu kepada RM2 ribu.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jawa Milu, dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Next Post Previous Post