Kos operasi meningkat, jarak perjalanan bas RM1 dihadkan

Lee meninjau kemudahan bas yang menawarkan tambang RM1 di Miri. Gambar arkib FB Lee Kim Shin

KUCHING— Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) akan mengkaji semula perlaksanaan Program Subsidi Tambang Bas RM1 di negeri ini bagi menjimatkan kos dan perlaksanaan lebih bersasar kepada yang benar-benar memerlukan. 

Menterinya, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, subsidi ini perlu dikaji semula berikutan peningkatan kos operasi dan perbelanjaan. 

“Langkah ini termasuk mengehadkan operasi bas hanya untuk laluan tidak melebihi 40 kilometer (km) berbanding sebelum ini tidak mengira jarak perjalanan,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Semalam, MOTS mengadakan pertemuan bersama 11 syarikat bas henti-henti yang beroperasi di Kuching, Sibu, Sarikei, Miri dan Bintulu untuk memaklumkan model baharu bagi program subsidi yang telah diluluskan dan dipersetujui oleh Kerajaan.

“Butiran laluan dan jadual bas henti-henti telah dibentangkan kepada syarikat bas untuk pengesahan mereka dan program baharu ini akan bermula pada 1 Januari 2024,” tambahnya. 

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan melalui MOTS akan melanjutkan Program Subsidi Tambang Bas Kadar Rata RM1 sehingga tahun 2025. 

“Program ini telah memberi manfaat kepada rakyat khususnya kumpulan B40 sejak pelaksanaannya pada Mei 2020. 

“Kadar caj RM1 yang dikenakan kepada pengguna adalah amat berpatutan terutamanya mengambil kira keadaan ekonomi yang mencabar pada masa kini,” kata Lee lagi.

Tambahnya, bilangan penumpang telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 75 peratus dari tahun 2021 sehingga 2023.

“Purata jumlah penumpang telah meningkat dengan mendadak, daripada 209,055 sebulan pada 2021 kepada 364,725 sebulan pada 2023.

“Kerajaan Sarawak melalui MOTS akan terus berusaha untuk menambah baik dan mengembangkan perkhidmatan bas henti-henti di Sarawak,”katanya lagi.
Next Post Previous Post