Tujuh remaja pulang tanpa motosikal

Penunggang yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu untuk proses dokumentasi. Gambar ihsan PDRM

SIBU— Bukan sekadar disaman malah tujuh remaja terpaksa menunggang motosikal ke Balai Polis Sentral Sibu selepas ditahan dalam Ops Bersepadu Ambang Krismas, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, kesemua remaja bersama motosikal dibawa ke balai polis untuk proses dokumentasi sebelum ke Balai Trafik Sungai Merah bagi tindakan lanjut. 

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi tujuan mengenal pasti identiti pemandu, identiti kenderaan atau untuk memberhentikan sesuatu kesalahan daripada berterusan.

“Operasi berkenaan dilancarkan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di pusat bandar Sibu dan Jalan Awang Ramli Amit bermula 8.30 malam.

“Sejumlah 51 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, memandu di bawah umur dan tidak tidak pamer P,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Kesalahan lain ialah lesen kenderaan motor tamat tempoh, ubahsuai struktur, ubahsuai ekzos, tiada cermin, nombor plat fancy dan plat nombor tidak ikut peraturan.

Beliau menambah, dalam operasi tersebut sejumlah 49 orang tempatan telah diperiksa.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau dan peka dengan aktiviti anak mereka agar tidak terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Next Post Previous Post