Kaki samun di Miri tumpas

MIRI — Sekumpulan 'kaki samun' sanggup bersengkang mata untuk melakukan jenayah pecah rumah dan mencuri kenderaan.

Sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu, ahli-ahli kumpulan itu akan mencari satu sama lain untuk bersama-sama keluar mencari sasaran untuk dipecah masuk.

Namun perbuatan jahat mereka itu tidak kekal lama apabila kelima-kelima suspek warga tempatan diberkas dalam beberapa siri serbuan pada 21 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan Op Lejang/Pintu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri Sarawak sekitar jam 5 pagi.

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan cara pecah rumah dan curi kenderaan,
ahli-ahli kumpulan akan mencari antara satu sama lain untuk bersama-sama keluar
mencari sasaran untuk dipecah masuk. 

"Apabila sesuatu sasaran dikenal pasti, kumpulan ini akan memecah masuk dengan menggunakan pelbagai cara antaranya
dengan mengumpil pintu rumah. Setelah berjaya memecah masuk rumah, kumpulan
ini menyasarkan kunci kenderaan dan melarikan kenderaan yang diletakkan di
hadapan rumah.

"Kebiasaanya kumpulan ini akan bergerak pada waktu awal pagi antara jam 1 pagi hingga 4 pagi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Alexson berkata, dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis telah menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Miri Sarawak yang melibatkan
nilai keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM178,000.

Katanya, kesemua suspek direman enam hari sehingga
27 Disember ini.

Mengenai tangkapan itu, tangkapan pertama melibatkan dua suspek ditahan di hadapan stesen minyak di Jalan Simpang Bekenu, Sibuti.

Alexson berkata, polis telah berjaya merampas sebuah kereta jenis Nissan Navara disyaki curi yang telah disembunyikan di sebuah ladang, kawasan Bukit Peninjau, Bekenu.

"Hasil tangkapan itu polis berjaya menahan tiga lagi suspek lelaki tempatan berumur lingkungan 22 sehingga 35 tahun dalam serbuan berasingan disyaki ahli kumpulan yang sama.

"Turut dirampas sebuah motosikal jenis SM Sport 110 disyaki dicuri, sebuah kereta jenis Nissan Navara disyaki curi dan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX 1.3 disyaki curi.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine,"katanya.

Alexson menambah, untuk kesalahan pecah rumah dan curi kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Manakala bagi kes curi kenderaan, katanya kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Gambar Ihsan PDRM
Next Post Previous Post