Geng Bezza Eein sasar kedai telekomunikasi tumpas

KUCHING— Hanya menggunakan kabel yang ditarik kereta Bezza, enam perompak ‘profesional’ termasuk seorang wanita yang menamakan kumpulan mereka Bezza Eein, berjaya menyamun kedai peralatan komunikasi sehingga mendatangkan kerugian ribuan ringgit.

Sejak menjadikan menyamun sebagai kerja sepenuh masa, kumpulan ini disyaki memecah masuk kedai-kedai menjual peralatan perkakasan dan peralatan komunikasi di sekitar Kuching, Kota Samarahan, Padawan, Bau dan Sri Aman.

Kumpulan ini menggunakan seutas kabel yang dipasang pada bahagian hadapan atau belakang kereta Perodua Bezza yang telah diubah suai serta menggunakan nombor pendaftaran palsu selain menggunakan ‘cutter’ untuk memotong mangga pintu hadapan kedai.

Kumpulan ini juga sering mengecat kereta Perodua Bezza dengan pelbagai warna bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa dan melakukan kegiatan mereka ketika awal pagi.

Namun kelicikan kumpulan ini berjaya ditumpaskan selepas mereka diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen Sarawak pada 14 Disember lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, kelima-lima suspek ditahan dalam serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di Matang sekitar jam 3.15 petang.

“Kesemua suspek adalah warga tempatan berusia dalam lingkungan 18 hingga 36 tahun 

“Turut dirampas sebuah motosikal dan kereta Perodua Kancil disyaki dicuri, Perodua Bezza, kabel, komputer riba, telefon bimbit dan perkakas untuk pecah kedai,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

"Dengan tertumpasnya kumpulan ini, telah menyelesaikan sebanyak (27) kes pecah kedai di sekitar daerah Kuching, Kota Samarahan, Padawan, Bau dan Sri Aman yang melibatkan nilai keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM288,872.80."

Mancha berkata, kesemua tangkapan direman selama 7 hari sehingga 22hb Disember 2023 untuk siasatan lanjut.

Untuk kesalahan pecah rumah dan curi, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

"Manakala bagi kes curi kenderaan, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda," katanya."
Next Post Previous Post