Lelaki dijumpai tertiarap di jalan dipercayai jatuh dari bangunan tinggi

KUCHING-- Seorang lelaki dijumpai mati tertiarap di atas jalan dipercayai terjatuh dari bangunan tinggi di sebuah apartment di Jalan Tun Jugah di sini pada 18 Disember lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 6.17 pagi pada 18 Disember lalu.

"Polis dimaklumkan berkaitan penemuan seorang lelaki tempatan yang berusia 29 tahun dalam keadaan tertiarap di atas jalan di kawasan sebuah apartment, Jalan Tun Jugah, 
kuching. 

"Pihak polis telah membuat siasatan di tempat kejadian dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Merbin, siasatan awal di lokasi kejadian, mendapati tiada unsur jenayah dikesan. 

Bagaimanapun, tegasnya polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh semua aspek. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat atau individu supaya 
tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak sahih dan tidak tepat berkaitan kejadian.

"Beri ruang kepada pihak polis untuk 
menjalankan siasatan menyeluruh dan lengkap.

"Kes pada masa ini disiasat di bawah laporan kematian mengejut atau 'sudden death report' (sdr) oleh ASP Will Jihem, Ketua Polis Balai Sekama," ujarnya.

Tegasnya, kes akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara sejurus selepas siasatan selesai dijalankan. 

"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke pusat kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis 
berhampiran," tambahnya.
Next Post Previous Post