1,108 guru baharu ditempatkan di Sarawak

KUCHING— Seramai 1,108 guru baharu ditempatkan di Sarawak mulai 28 Disember ini, menurut Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) hari ini.

JPNS berkata, guru tersebut terdiri daripada siswazah keluaran universiti awam dan swasta. 

“Daripada jumlah tersebut, seramai 422 orang guru ditempatkan di sekolah rendah, manakala 686 orang guru di sekolah menengah.

“Kami mengucapkan terima kasih dan setingg-tinggi penghargaan atas keprihatinan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),”katanya dalam satu kenyataan.

Pihaknya turut menyatakan penghargaan atas sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Sarawak (MEITD) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Cawangan Sarawak (SPP) dalam membantu mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak.

“Jabatan akan sentiasa bekeriasama erat dengan pihak KPM, SPP dan semua pemegang taruh Pendidikan dari semasa ke semasa bagi memastikan is kekurangan guru di Sarawak dapat diatasi.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, seramai 3,076 guru diperlukan bagi mengisi kekosongan di sekolah menengah dan rendah seluruh Sarawak.

Katanya, jumlah itu berdasarkan angka yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri sehingga 31 September lalu.

“Daripada jumlah itu sseramai 819 guru diperlukan di sekolah menengah manakala 2,257 lagi untuk sekolah rendah.

“Dalam mesyuarat antara Setiausaha Tetap MEITD, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia pada 7 November lalu, sebahagian isu itu sudah diatasi,” katanya dipetik semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, November lalu.

Beliau berkata, mesyuarat itu memutuskan seramai 819 guru sekolah menengah akan diisi pada Februari 2024 manakala 752 guru sekolah rendah pula akan diisi pada Jun 2024.

"Ini bermakna kita masih kekurangan seramai 1,505 guru untuk sekolah rendah," katanya.

Gambar hiasan kredit Luka Nis Man
Next Post Previous Post