Mayat bayi perempuan ditemukan bersama nota, meminta maaf

Mayat bayi dibalut tuala ditemui dalam tong sanitasi di pusat beli-belah di Kota Kinabalu. Gambar ihsan PDRM

KOTA KINABALU—Mayat seorang bayi perempuan cukup sifat ditemukan dalam tong sanitasi di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Khamis.

Turut ditemui cebisan kertas yang tertulis nota “Saya meminta maaf dan meminta tolong mencari tempat sesuai untuk anak saya. Terima kasih pertolongan anda. Jangan kecam saya. Saya pun tidak mahu ini terjadi.”

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi itu pada jam 9.40 malam.

“Mayat ditemukan seorang penyelia syarikat pembersihan ketika hendak menukar plastik tong sampah sanitasi tersebut.

“Hasil siasatan mendapati satu mayat bayi perempuan cukup sifat ditemui dalam keadaan dibaluti dengan kain tuala,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sehubungan itu, polis sedang menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian selain membuat risikan maklumat bagi mengenalpasti suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Next Post Previous Post