Remaja 15 tahun hilang disambar buaya

Lokasi kejadian di Sungai Samariang Aman. Gambar PGO Sarawak

KUCHING— Seorang remaja lelaki yang berusia 15 tahun dilaporkan disambar buaya ketika memancing dan menjala di Sungai Samariang Aman petang tadi.

 Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.27 petang.

“Ketika kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakannya sedang memancing serta menjala di sungai tersebut.

“Menurut salah seorang rakan mangsa, kesemua mereka turun ke sungai apabila jala mereka telah tersangkut.

“Mangsa yang ketika itu berada di paling hadapan telah disambar buaya sebelum dibawa ke hulu sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dikerahkan ke lokasi selepas mendapatkan maklumat mangsa, seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan sungai berkenaan.

Sehingga kini, operasi mencari mangsa sedang dijalankan.
Next Post Previous Post