Tiga individu dari Sibu, Bintulu dan Miri terduduk kena tipu berjumlah hampir RM2 juta

KUCHING— Tiga individu dari Sibu, Bintulu dan Miri berputih mata kerugian hampir RM2 juta akibat terpedaya dengan penipuan. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, ketiga-tiga mangsa berusia antara 30-an hingga 60-an itu membuat laporan tersebut semalam. 

Beliau berkata, mangsa pertama melibatkan seorang wanita tempatan di Sibu yang menerima panggilan daripada Inspektor Koo mendakwa akaun bank milik mangsa digunakan oleh individu yang tidak dikenali bagi tujuan kes pengubahan wang haram. 

“Mangsa telah diarahkan membuka satu akaun bank yang baru sebelum memindahkan wang sebanyak RM900,000 dari akaun bank peribadi mangsa ke akaun tersebut.

“Hasil semakan lanjut mendapati wang dari dalam akaun bank milik mangsa telah dipindahkan ke tujuh akaun bank pihak ketiga dengan 55 kali transaksi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mancha berkata, mangsa kedua seorang wanita berusia awal 30-an ditipu dua individu yang menawarkan pelaburan Betadia.

Katanya, mangsa dimaklumkan pelaburan betadia tersebut adalah merupakan pelaburan matawang (Forex) dan diperkenalkan dengan empat pakej pelaburan yang menjanjikan keuntungan 15% sehingga 17%. 

“Akibat terpedaya, mangsa membuat 38 kali transaksi kepada 15 akaun berbeza berjumlah RM444,000,” katanya.

Ujar Mancha, mangsa ketiga kes penipuan e-dagang seorang lelaki berusia pertengahan 40-an yang merupakan seorang pekerja offshore
di Bintulu. 

“Mangsa tertarik untuk membeli kereta jenis Suzuki Jimmy berharga RM40,000 yang diiklankan di laman Facebook.

“Mangsa yang berminat telah berhubung dengan seorang ejen jualan kereta bernama Tan Fu Long melalui aplikasi Whatsapp dan tanpa usul periksa telah membuat 76 transaksi ke 17 akaun bank berbeza berjumlah RM350,000.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.