Sarawak ambil alih Pelabuhan Bintulu Julai 2024

Sarawak dalam proses menyediakan peruntukan undang-undang mengambil alih kawalan Pelabuhan Bintulu. Gambar arkib Jabatan Premier Sarawak

KUCHING—Kerajaan Sarawak dijangka mengambil alih sepenuhnya Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan Persekutuan pada Julai 2024.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi berkata, di bawah pentadbiran kerajaan Sarawak, Pelabuhan Bintulu akan memainkan peranan penting dalam memudahkan pembangunan ekonomi negeri ini.

“Khususnya, industri minyak dan gas, aktiviti pertengahan dan hiliran, minyak makan, pangkalan bekalan yang dicadangkan, penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), pengeluaran hidrogen dan biofuel lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming  dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu, menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak.

Dato Majang menambah, kerajaan Sarawak sedang dalam proses menyediakan peruntukan undang-undang dan pengaturan lain yang diperlukan untuk mengambil alih kawalan Pelabuhan Bintulu seiring termasuk proses sewajarnya yang diperlukan untuk kerajaan Persekutuan memansuhkan dua akta berkaitan.

“Dua akta berikut ialah Akta Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Port Persekutuan dan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981,” ujarnya.
Next Post Previous Post