SKMM tidak terlibat isu lagu Krismas TVS, Fahmi

TVS tidak memerlukan kelulusan SKMM - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak terlibat dalam keputusan TV Sarawak (TVS) berhubung lagu yang digunakan untuk program Krismas negeri itu, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang kementeriannya menyelia SKMM, berkata demikian sebagai reaksi terhadap kontroversi berikutan keputusan TVS menolak permintaan Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak (ACS) menggantikan lagu ‘Jingle Bells Rock’ dengan ‘O Holy Night’ pada Program ‘ A Christmas Carol, Sarawak in Diversity’.

“Saya telah menyemak dengan SKMM dan penyiaran kandungan pra-rakaman TVS tidak memerlukan kelulusan agensi tersebut.

“Syarat lesen @tvstvmy adalah khusus untuk siaran langsung & tertunda; pra-rakam tidak memerlukan kelulusan SKMM.

“Oleh itu, SKMM tidak terlibat dalam proses membuat keputusan ini,” tulisnya di laman media sosial X malam tadi.

Beliau dalam hantaran itu turut menjelaskan Lembaga Penapisan Filem (LPF) bukan di bawah kementeriannya sebaliknya Kementerian Dalam Negeri.

Terdahulu surat daripada ACS bertarikh 13 November mendakwa TVS menolak permintaannya dan "disebabkan unsur agama dan juga kerana protokol" daripada LPF dan SKMM.

“Oleh kerana pihak TVS tidak mahu menukar lagu "Jingle Bells Rock" dengan lagu "O Holy Night", kami tidak ada pillhan selain daripada menarik diri dan menyertal program ini. Kami telah menyampaikan pendirian kami ini kepada pihak TVS dan juga Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR),” menurut surat itu.

ACS berkata sukar untuk menerima alasan yang diberikan oleh penganjur, sambil menekankan bahawa Krismas adalah perayaan menyambut kelahiran Yesus Kristus.

Sementara itu TVS menerusi Sarawak Media Group (SMG) selaku penganjur program Krismas dalam kenyataan berkata mereka tidak berniat untuk mengecualikan lagu ‘O Holy Night’ sebaliknya berusaha sedaya upaya untuk memasukkan lagu itu ke dalam program berkenaan.

“TVS memaklumkan perkara tersebut yang tular di sosial media berhubung dakwaan mengecualikan lagu itu merupakan salah faham di antara pihak yang terlibat dalam program itu.

“Adalah penting untuk kami tekankan bahawa TVS tidak berniat untuk mengecualikan lagu tersebut daripada program itu tetapi bersungguh-sungguh untuk memasukkannya dengan elemen persembahan yang diperlukan untuk menjayakannya,” katanya menerusi kenyataan bersama UNIFOR.

Katanya, objektif utama program yang disertai kira-kira 1,500 peserta adalah untuk mempamerkan perpaduan dalam kepelbagaian yang merangkumi pelbagai kaum, agama dan budaya yang ada di Sarawak.

TVS juga memberi jaminan bahawa penerbitan program itu yang dijadualkan pada 3 Disember ini akan diteruskan seperti yang dirancang dan akan disiarkan di TVS pada malam Krismas pada 23 Disember kelak.
Next Post Previous Post