Reman suspek cabul 15 murid OKU dilanjutkan

KUCHING— Reman pembantu pengurusan murid sebuah sekolah di Serian yang disyaki
mencabul 15 murid sekolah itu dilanjutkan sehingga 1 Disember depan.

Arahan lanjutan reman itu dikeluarkan berikutan reman asal suspek berakhir semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, reman itu bagi melengkapkan siasatan terhadap kes itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.

“Polis menerima 12 laporan daripada penjaga dan guru kepada 15 mangsa antara 16 hingga 22 November yang mendakwa anak mereka telah dicabul oleh suspek.

“Susulan itu suspek telah ditangkap pada 17 November lalu dan direman tujuh hari sehingga semalam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mancha berkata, semua mangsa adalah kanak-kanak dalam lingkungan umur 10
hingga 14 tahun.

“Semua mangsa merupakan pelajar pendidikan khas iaitu Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran, fizikal dan autisme.

 “Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan suspek seorang pembantu pengurusan murid, dia memikul amanah iaitu mangsa berada di bawah pemeliharaan, pengawasan atau kuasanya sepertimana peruntukan di bawah Seksyen 16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Katanya, seksyen ini memperuntukkan hukuman tambahan penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

“Kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya lebih peka dan prihatin
dengan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak kerana ia boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental yang berpanjangan kepada kanak-kanak jika tidak dibendung lebih awal.

“Kegagalan memberikan maklumat berhubung perlakuan seksual terhadap kanak-kanak boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.
Next Post Previous Post