Penunggang motosikal maut tercampak

KOTA PADAWAN— Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya masuk ke laluan bertentangan lalu bergesel dengan kereta sebelum tercampak di Jalan Landeh, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Romeo Ginkin, 20, dari Rumah Tagok, Marau Baru Pantu, Sri Aman.

Menurutnya, dalam kejadian pukul 10.07 malam, mangsa menunggang motosikal dari arah Landeh Height menghala ke Batu 10, Kota Padawan.

“Sampai di Jalan Landeh, motosikal mangsa masuk ke laluan bertentangan menyebabkan motosikalnya bergesel dengan Perodua Viva.

“Mangsa tercampak atas jalan tar manakala motosikal mangsa terseret di laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lagi Perodua Viva yang datang dari arah Batu 10 menghala ke arah Landeh Height,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu.

 Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke  Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS).

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post