KPK sedia pusat pengumpulan minyak terpakai di Kuching, Miri

TPM Fadillah menghadiri Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Dewan Masyarakat Kampung Tunku, Petra Jaya hari ini.

KUCHING— Kementerian Perladangan dan Komoditi menyasarkan pengumpulan sebanyak 90,000 kilogram minyak masak terpakai melibatkan penyertaan 6,000 orang awam sehingga akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada ketika ini di Sarawak pusat bagi program pengumpulan minyak masak terpakai itu dilaksanakan di Stesen Petronas Astana, Kuching dan Desa Senadin di Miri.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, justeru, orang ramai digalakkan untuk mengumpulkan sebanyak mana yang boleh minyak masak terpakai dan seterusnya dibawa ke stesen-stesen minyak terpilih PETRONAS untuk dijual.

“Pada tahun 2024, kita menyasarkan perluasan ke 50 stesen minyak Petronas di seluruh negara dengan sasaran jumlah pengumpulan sebanyak 528 ribu kilogram dan penyertaan seramai 40,368 orang awam.

“Program ini akan terus diperluaskan ke stesen-stesen PETRONAS yang terpilih di seluruh negara secara berperingkat,” katanya bersempena Trek Komoditi Sarawak Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Dewan Masyarakat Kampung Tunku, Petra Jaya hari ini.

Beliau menambah, inisiatif kementerian dan Petronas ini melalui program kitar semula minyak masak terpakai berupaya menjana pendapatan tambahan isi rumah.

Selain itu, katanya ia mengembangkan mengembangkan potensi penghasilan biobahan api yang lestari bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG).

“Walaupun industri sawit berdepan dengan pelbagai cabaran, kerajaan tetap komited dalam membangunkan industri ini dan menambah baik kehidupan pengusaha dan pekebun kecil serta rakyat melalui pengumpulan minyak masak terpakai,” katanya.

Untuk rekod, kementerian telah melancarkan Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Stesen Petronas, Putrajaya pada 18 Julai lalu melibatkan tiga stesen di Selangor dan Putrajaya 1.

Hasil pelaksanaan program di ketiga-tiga stesen minyak ini telah berjaya mengutip sebanyak 39 ribu kilogram minyak masak terpakai daripada 2,418 orang awam di sepanjang tiga bulan pelaksanaan.

“Ini menunjukkan inisiatif kita berjaya mendapat sokongan yang amat menggalakkan daripada orang awam.

“Dengan kejayaan ini, pusat pengumpulan minyak masak terpakai telah diperluaskan ke 33 stesen minyak Petronas di seluruh Malaysia,” kata Fadillah.
Next Post Previous Post