Penjelasan TVS berhubung isu lagu Krismas sangat mengelirukan

KUCHING— Tindakan TVS menjadikan salah faham sebagai alasan menolak permohonan Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) untuk menukar lagu ‘Jingle Bell Rock’ kepada ‘O Holy Night’ sebelum ini hanya menambah kekeliruan, bukannya menjernihkan keadaan.

Aktivis DAP Sarawak, Michael Kong Feng Nian berkata, kenyataan itu lebih banyak menimbulkan persoalan berbanding penjelasan yang menyakinkan terutamanya dari prinsip keterangkuman diri kerajaan GPS untuk semua kaum dan agama.

Beliau berkata, ACS dalam surat bertarikh 13 November lalu menyatakan permohonan mereka ditolak atas alasan unsur agama dan protokol Lembaga Penapis Filem (LPF) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Namun Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengesahkan SKMM tidak memainkan peranan dalam keputusan TVS.

“Penjelasan terbaharu TVS ini menimbulkan persoalan tentang akauntabiliti TVS dalam menangani isu ini.

“Sebagai sebuah unit di bawah Sarawak Media Group Sdn Bhd, yang dimiliki oleh kerajaan Sarawak, TVS dijangka cemerlang dalam komunikasi dan berfungsi cabang komunikasi kerajaan. Sebarang salah faham tidak hanya mencerminkan TVS tetapi juga kerajaan yang diwakilinya,” kata Michael dalam kenyataan.

Beliau yang juga Pembantu Khas kepada YB Chong Chieng Jen menambah, kenyataan TVS dilihat seolah-olah hanya menyalahkan ACS sebagai terlalu sensitif dan mengeruhkan keadaan dengan isu lagu tersebut.

Katanya, sikap menuding jari kepada pihak lain dalam isu kontroversi ini tidak harus dibiarkan.

“Kelemahan komunikasi TVS telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sarawak. 

“Perlu ada semakan menyeluruh proses komunikasi TVS dan pendekatan yang lebih telus untuk membuat keputusan dalam mengekalkan kepercayaan orang ramai,”katanya.

Sementara itu Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan menyifatkan tindakan TVS menolak permintaan ACS yang mewakili lebih satu juta penganut Kristian daripada 2.6 juta penduduk di Sarawak adalah satu penghinaan besar kepada penganut di negeri ini.

“Penganjur gagal memahami bahawa walaupun Islam adalah agama rasmi dalam persekutuan, terdapat kebebasan beribadat di bawah Perlembagaan Persekutuan oleh agama lain di negara ini. 

“Penganjur harus memahami sensitiviti perkara itu dalam kalangan penganut Kristian di Sarawak kerana Krismas dikaitkan dengan kelahiran Tuhan Yesus.

“Jika penganjur berpendapat bahawa lagu, "O Holy Night" mempunyai "unsur keagamaan" maka tidak ada sebab untuk menjemput ACS ke program itu pada mulanya kerana ACS adalah badan keagamaan yang mana ahli Jawatankuasa ACS adalah pemimpin rohani gereja yang menjaga kepentingan penganut Kristian di Sarawak,” katanya.
Next Post Previous Post