Petros, Petronas kukuh kerjasama urus minyak dan gas
Premier Sarawak Abang Johari, Datuk Amar Awang Tengah (kanan), delegasi Petronas dan kerajaan Sarawak bergambar sebelum memulakan dialog. |
KUALA LUMPUR--Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) memantapkan kerjasama dua hala dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam menguruskan minyak dan gas termasuk penerokaan di luar pantai Sarawak.
Perkara tersebut antara topik utama perbincangan di antara kerajaan Sarawak dan Petronas pada 3rd Annual Strategic Dialogue (ASD) Sarawak – Petronas yang diadakan di Petronas Twin Tower, Kuala Lumpur pada Rabu.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dialog di bawah Perjanjian Komersial antara Sarawak dan Petronas itu juga menyentuh mengenai industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) selain tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak Petronas dalam bidang pendidikan.
"Pertama saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Petronas yang dipengerusikan oleh Pengerusi Petronas sendiri dalam mesyuarat atau dialog di bawah Commercial Agreement di antara Petronas dan Sarawak.
"Kita telah banyak berbincang perkara-perkara yang ada hubung kait CCUS (carbon storage), keduanya mengenai social responsibility Petronas menolong kita termasuklah pendidikan.
"Ketiganya memantapkan lagi kerjasama di antara Petronas dan Petros di dalam menguruskan bidang minyak dan gas termasuklah offshore exploration."
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan dialog tersebut bersama Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Tambahnya, kerajaan Sarawak juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Petronas dalam meneroka pengeluaran tenaga alternatif selain daripada minyak dan gas.
"Dan juga mungkin kerjasama kita di luar bidang-bidang di luar minyak dan gas kerana sekarang ini kita menghadapi masalah iklim dan kita ada alternative energy seperti hidrogen.
"Kita boleh berbincang bersama untuk menerokai tenaga-tenaga lain selain daripada minyak dan gas kerana saya berpendapat bahawa nilai minyak dan gas akan menurun dari konteks global business sebab wujudnya alternative energy yang akan digunakan oleh industri.
"Namun demikian dialog ini sangat berhasil dan ia akan memberi pulangan dan kemakmuran kepada Sarawak," tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi.
Dialog berlangsung kira-kira 2 jam setengah itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.
Selain itu, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais dan Penasihat Peguam Negeri Dato Sri JC Fong turut serta dalam dialog berkenaan.
Terdahulu, Premier Sarawak menerima kunjungan hormat daripada Datuk Tengku Muhammad Taufik.
Perbincangan berlangsung kira-kira sejam itu diadakan di Petronas Twin Tower Kuala Lumpur.
Turut serta dalam kunjungan hornat tersebut Datuk Amar Awang Tengah dan Tan Sri Mohd Bakke Salleh.
Sebelum berangkat pulang, Premier Sarawak dan dif-dif kenamaan yang lain sempat meninjau panorama di sekitar Kuala Lumpur di Skybridge Petronas Twin Tower.