Peguam Aman Palestin beri tempoh 3 hari untuk SPRM nyahbeku akaun

BANGI-- Isu pembekuan akaun milik Aman Palestin Berhad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin hangat apabila badan bukan kerajaan (NGO) itu memberi tempoh tiga hari bagi mendesak SPRM menyahbekukan akaun mereka.

Memetik laporan Awani, Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili NGO tersebut berkata, tindakan undang-undang juga akan diambil jika SPRM gagal berbuat demikian.

Tegasnya, pihak mereka mempersoal tindakan SPRM mengkategorikan wang derma sumbangan rakyat dan individu sebagai hasil aktiviti haram.

"Perenggan ketiga dalam kenyataan media yang dikeluarkan SPRM pada 23 November lalu berniat jahat dan sengaja diterbitkan untuk membina persepsi negatif dalam kalangan orang ramai.

"Bagaimana wang derma sumbangan rakyat dan individu dikategorikan sebagai hasil aktiviti haram?

"Aman Palestin hari ini mengutus surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), memberi notis di bawah Seksyen 44 (A) untuk perintah pembekuan ini dibatal atau diubah.

"Aman Palestin beri tempoh tiga hari untuk penyahbekuan akaun. Sekiranya gagal, tindakan perundangan sepatutnya dan suai manfaat akan diambil," katanya pada sidang media yang disiarkan di Facebook Aman Palestin-AP semalam.

Pihaknya juga mempersoalkan tindakan SPRM membekukan akaun NGO itu sehari selepas ia mengumumkan penyaluran wang untuk kempen bantuan musim sejuk dan ketika gencatan senjata diisytiharkan di Gaza.

Pada masa sama Muhammad Rafique memberitahu kenyataan pada 23 November itu serta beberapa pembocoran maklumat siasatan yang telah dinafikan, adalah satu komplot dan propaganda jahat untuk membunuh karakter Aman Palestin secara khusus.

"41 akaun yang dibekukan untuk siasatan itu bukan semua milik Aman Palestin, sebaliknya terdapat juga akaun milik rakan strategik, ahli lembaga pengarah dan kakitangan.

"Antara aset yang dibekukan ialah 12 bidang tanah, empat buah bangunan, empat buah kereta dan wang berjumlah RM15 juta yang merupakan hasil sumbangan rakyat Malaysia.

"Kesemua aset ini untuk pelaburan yang dibenarkan bagi mempertingkatkan kebolehan Aman Palestin dalam memberi bantuan kemanusiaan dan bukan untuk tujuan peribadi," jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan balasnya berhubung kenyataan media Aman Palestin itu memberitahu, pihaknya sedia dedah justifikasi kepada mahkamah susulan pembekuan akaun bank Aman Palestin.

Tegasnya, SPRM menjalankan siasatan secara profesional dan adil tanpa sebarang niat jahat terhadap mana-mana pihak. 

Tambahnya, terpulang kepada mana-mana pihak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka merasa ada keperluan untuk berbuat demikian. 

"SPRM bersedia untuk mendedahkan kepada mahkamah justifikasi mengapa pembekuan aset dibuat. 

“Tindakan pembekuan aset bagi membantu siasatan adalah berdasarkan Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang.  

"Ia adalah tindakan yang biasa dijalankan dalam mana-mana siasatan sekiranya ada keperluan," jelasnya. 

Beliau turut mengaskan bahawa SPRM telah dipertanggungjawab dan diamanahkan untuk menyiasat dengan adil dan tegas sebarang isu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, terutamanya kes berkepentingan awam yang melibatkan ketirisan dana. 

Pada 23 November lalu, SPRM membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin dan beberapa syarikat lain yang berkaitan dengannya, atas dakwaan salah guna wang sumbangan orang ramai.

SPRM dalam kenyataannya memaklumkan, siasatan awal ke atas NGO itu mendapati, kira-kira RM70 juta telah disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhannya.

Akaun bank yang dibekukan oleh SPRM pada 22 Nov itu melibatkan dana berjumlah RM15,868,762.
Next Post Previous Post