Penghijrahan etnik Bisaya ke bandar membimbangkan

Paulus menerima cenderamata daripada Antonio (kanan) sempena majlis makan malam Persatuan Bisaya Miri.

MIRI— Jumlah penduduk Bisaya di kawasan pedalaman Limbang menurun pada kadar yang tinggi dengan jumlah populasi kurang 6,000 berbanding 10,000 tahun sebelumnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, angka itu berdasarkan bancian terkini dan penurunan itu membimbangkan kerana semakin ramai generasi muda berpindah ke bandar untuk bekerja.

“Ramai generasi muda meninggalkan kampung untuk melanjutkan pelajaran seterusnya mencari pekerjaan di tempat lain. Banyak kampung-kampung hanya golongan menua yang tinggal.

“Terdapat juga penduduk berkenaan berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki dan mengubah corak hidup,” katanya berucap pada majlis makan malam tahunan Persatuan Bisaya Sarawak cawangan Miri pada Ahad.

Justeru Paulus menggesa generasi muda melibatkan diri dalam kegiatan pertanian moden sebagai sumber pendapatan ekonomi baharu tanpa perlu meninggalkan kampung halaman.

Katanya, kerajaan melalui agensi seperti Salcra menggalakkan generasi muda mencuba mekanisme baharu untuk mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar.

Pada majlis itu Paulus turut mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada PBS cawangan Miri dan menyampaikan hadiah insentif kepada anak-anak ahli yang cemerlang dalam SPM, SPTM dan institusi pengajian tinggi.

Sementara itu Pengerusi PBS Miri Datu Antonio Kahti Galis berkata, beliau berterima kasih kepada pihak kerajaan yang sentiasa menyokong persatuan terutama dari segi peruntukan dalam menganjurkan pelbagai aktiviti.

Katanya, sejak penubuhan persatuan telah terlibat aktif dalam Pesta Babulang dan Lumba Kerbau, perarakan Krismas, Taste of Borneo Festival dan program Gawai Dayak.

PBS Miri telah ditubuhkan pada 1989 bertujuan menjaga kebajikan dan membantu ahli-ahli Bisaya yang berasal dari Limbang dan bekerja atau berhijrah ke sini.
Next Post Previous Post