Ancaman Bom: Uskup Agung Simon minta siasatan terperinci cari dalang hantar e-mel

KUCHING-- Uskup Agung Simon Poh menggesa pihak berkuasa berkaitan menyiasat lebih terperinci insiden ancaman bom melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuching High yang berlaku hari ini.

Jelasnya, ancaman tersebut dihantar melalui e-mel sekali gus memberi kerisauan warga sekolah.

"Sebaik sahaja menerima berita berhubung insiden ini saya bersama Yang Berhormat (YB) Violet Yong, George Lam dan Sim Kiat Leng telah melawat ke sekolah untuk mengetahui keadaan di lapangan.

"Pada masa sama polis dan skuad bom juga tiba di sekolah.

"Ini adalah e-mel ancaman bom kedua melibatkan sekolah di Kuching. Kami amat prihatin terhadap keselamatan pelajar dan guru serta pegawai polis yang menjalankan kerja-kerja pemeriksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Simon meminta orang ramai tidak panik berhubung insiden tersebut.
 
"Kami menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan dan menjejaki pengirim e-mel tersebut.

"Sementara itu, Kementerian Pendidikan harus segera mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan dan prosedur tindak balas pantas dalam situasi sedemikian," tegasnya lagi.

Mengulas lanjut, Simon berkata Sekolah Persendirian St Joseph juga menerima e-mel yang mencurigakan semalam dan perkara ini telah segera diserahkan kepada pihak polis.  

Dedahnya, polis juga telah datang untuk memeriksa premis itu malam tadi dan sekolah diisytiharkan dalam keadaan bersih dan selamat.

"Saya juga pernah terbaca dalam berita bahawa sekolah-sekolah lain juga menerima ancaman bom ini.  

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dan tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian sehingga menyebabkan ketakutan dan gangguan yang tidak perlu kepada pelajar dan kehidupan di sekolah. 

"Walaupun ini telah terbukti sebagai penipuan, ini adalah perkara yang serius kerana ia dianggap sebagai ancaman kepada nyawa dan menjejaskan rasa keselamatan diri orang awam di tempat umum lebih-lebih lagi apabila kanak-kanak, pelajar dan guru yang tidak berdosa di sekolah menjadi "mangsa"," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai tidak mudah membuat kesimpulan sementara menunggu siasatan polis.

Tamat
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.