KPDN Bintulu serbu pasar raya sorok gula, minyak masak peket

BINTULU—Perbuatan tidak bertanggungjawab sebuah pasar raya di sini yang cuba untuk menyorok 400 kilogram gula pasir putih bertapis kasar dan 272 kilogram minyak masak paket berjaya dipatahkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Cawangan Bintulu, hari ini.

Pihak penguatkuasa terbabit bertindak menjalankan pemeriksaan ke atas pasar raya terbabit selepas menerima aduan kekurangan bekalan minyak masak paket 1 kilogram yang tular di media sosial.

Kenyataan media yang dikeluarkan KPDNKSH berkata sepasukan anggota penguatkuasa telah membuat pemeriksaan ke atas semua pasaraya tumpuan melalui Ops Sorok. 

"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah pasaraya mendapati tiada minyak masak paket dan gula bersubsidi di rak-rak pasaraya tersebut," ujar Ketua Cawangan KPDNKSH Bintulu Al Redzamani Abdul Razak.

Siasatan susulan ujarnya mendapati sebanyak 272 kilogram minyak masak dan 400 kilogram gula paket disimpan pada ruang tersorok premis yang disyaki disorok dalam premis.

Katanya antara syarat sah yang perlu dipatuhi pelesen adalah memastikan bekalan khususnya barangan kawalan sentiasa ada sepanjang masa seperti yang termaktub di dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1974. 

"Pasaraya terbabit juga diminta mengisytiharkan stok, di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961," jelasnya.

Hasilnya menurut beliau, stok gula pasir dan minyak masak paket itu yang dipercayai cuba disorok ditemukan di premis berkenaan sebelum ia disita untuk siasatan lanjut.

Adalah dianggarkan bahawa kesemua rampasan bernilai RM 1,820.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pasaraya terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan menyorok barang kawalan.
Next Post Previous Post