Hanya 11 daripada 462 sekolah daif di Sarawak dibaik pulih tahun depan

Lo Khere Chiang semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2024 di Persidangan DUN Sarawak hari ini.

KUCHING— Masih banyak sekolah daif di Sarawak belum mendapat dana daripada kerajaan Persekutuan untuk tujuan naik taraf.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, setakat ini, kerajaan Persekutuan telah membiayai RM2.5 bilion dari tahun 2016 hingga 2023 berbanding kerajaan Sarawak yang telah menyalurkan RM2.7 bilion dari tahun 2020 hingga 2023.

“Kita mempunyai 462 sekolah daif di Sarawak yang memerlukan perhatian serius tetapi hanya 11 sekolah akan dibaik pulih pada tahun 2024.

“Justeru kerajaan Sarawak perlu meneruskan usaha dalam mendapatkan autonomi dalam bidang pendidikan dengan segera agar dapat menyelesaikan isu-isu mendesak melibatkan keselamatan guru dan pelajar,” katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2024) 2023 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Tambah beliau lagi, sudah masanya autonomi pendidikan dikembalikan dengan segera kepada Sarawak supaya sekolah-sekolah daif negeri ini dapat dibaiki dan memutuskan sukatan pelajaran yang relevan.

Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menegaskan bahawa penduduk yang berpendidikan akan membawa Sarawak ke tahap yang lebih tinggi di mata dunia.

Justeru, Premier menyasarkan untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada semua universiti milik kerajaan Sarawak menjelang 2026. 
Next Post Previous Post