Warga emas rugi RM170,000 terpedaya sindiket tipu sewa tanah

KUCHING-- Seorang warga emas rugi RM170,000 selepas menjadi mangsa penipuan sewa tanah untuk didirikan menara telekomunikasi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia lewat 60-an yang merupakan petani itu tampil membuat laporan polis semalam.

"Menurut mangsa, pada pertengahan bulan September 2023, semasa 
berada di kebunnya yang terletak di Batu 15, Kota Samarahan, telah didatangi dua lelaki dan seorang perempuan tidak dikenali yang 
mengatakan ingin menyewa tanah kebun miliknya untuk didirikan menara 
telekomunikasi. 

"Walau bagaimanapun, mangsa mengatakan tidak berhasrat menyewakan tanah kebun miliknya itu kerana beliau perlu berbincang dengan ahli keluarga terlebih dahulu.

"Selepas itu, ketiga-tiga suspek datang semula ke kebun mangsa pada 
penghujung September 2023 untuk perbincangan lanjut urusan 
sewa tanah kebun miliknya.

"Mangsa kemudian telah bersetuju untuk menyewakan tanah kebun beliau kepada suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pada awal Oktober 2023, ketiga-tiga suspek telah membawa 
mangsa dan isteri mangsa menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi 
berwarna putih menuju ke bandar raya Kuching kononnya untuk membuat 
pembayaran wang sewa tanah kepada mangsa. 

Bagaimanapun, katanya mangsa dan isteri telah diperdaya oleh suspek untuk mengeluarkan wang keseluruhan berjumlah lebih kurang RM170,000 dari akaun ASB mereka di beberapa bank di sekitar bandaraya kuching sebagai syarat membayar wang sewa tanah mangsa. 

"Wang tunai kemudian diserahkan 
kepada ketiga-tiga suspek di dalam kenderaan yang digunakan suspek.

"Mangsa hanya menyedari ditipu setelah beliau dan isteri ditinggalkan 
ketiga-tiga suspek berhampiran sebuah bank di Jalan Simpang Tiga," jelas Azman.

Menurutnya lagi jumlah kerugian yang dialami mangsa bernilai lebih 
kurang RM170,000.

Tegas beliau kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan bolehlah 
juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan tawaran menarik untuk menyewa tanah atau hartanah anda dari individu tidak dikenali.

"Sila buat pengesahan dengan pihak berwajib terlebih dahulu sama ada 
sesuatu projek pembangunan
seperti pembinaan menara telekomunikasi wujud atau sebaliknya.

"Elakkan berurusan dengan individu tidak dikenali yang tiada kaitan 
dengan syarikat perkhidmatan telekomunikasi" ujarnya.
Next Post Previous Post