Penjawat Awam Maut Motosikal Berkuasa Tinggi Bertembung 4WD di Jalan Kuching Sri Aman

SERIAN-- Seorang penjawat awam maut dalam kemalangan melibatkan motosikal berkuasa tinggi dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 81 Jalan Kuching Sri Aman pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, dalam kemalangan sekitar jam 9.20 pagi itu, mangsa yang maut lelaki berusia 42 tahun akibat cedera prah di kepala dan tangan.

"Kemalangan maut melibatkan sebuah motorsikal berkuasa tinggi dan kenderaan 4WD yang mana motorsikal tersebut ditunggang oleh mangsa.

"Akibat kemalangan itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dibahagian kepala serta tangan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Balai Ringin," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Manakala kenderaan 4WD katanya, dipandu lelaki berumur 66 tahun berasal Kampung Antayan Kresik tidak mengalami kecederaan. 

Mengulas lanjut Aswandy memberitahu siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua kenderaan bertembung ketika kenderaan 4WD keluar dari persimpangan jalan sebelah kiri arah menuju ke Sri Aman dan dipercayai hendak masuk ke tempat membuat pusingan P dilokasi berkenaan.

"Jenazah telah dibawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat. 

"Kes ini disiasat di bawah sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Tambahnya lagi, siasatan lanjut masih dijalankan.

Dalam pada itu, tular satu rakaman video di media sosial yang mendakwa pemandu 4WD memandu secara bahaya dengan melawan arus.

Bagaimanapun, siasatan lanjut mengenai kemalangan itu masih dijalankan.
Next Post Previous Post