Senator Abun mempersoalkan empangan Bakun Selamat Atau Tidak?

KUCHING-- Jadikan bencana akibat empangan yang berlaku di luar negara sebagai pengajaran, kata Ahli Dewan Negara Senator Abun Sui Anyit.

Beliau berkata demikian susulan terdapat perbezaan status Empangan Bakun yang dilaporkan.

"Kita perlu belajar daripada bencana akibat empangan yang berlaku di luar negara.

"Dari pengalaman di luar negara bermakna pembinaan empangan mega datang bersertakan dengan pakej : empangan dan langkah-langkah kecemasan keselamatan [Emergency Response Plan (ERP)] termasuk jalan raya sebagai laluan kecemasan melarikan diri ke tempat selamat sekiranya empangan pecah.

"Oleh kerana Empangan Bakun dalam kategori empangan mega, bukankah sepatutnya EMP sudah disiapkan lebih awal serentak dengan siapnya Empangan Bakun itu sendiri?

"Ini penting kerana cuaca sangat tidak menentu seperti dulu yang lebih stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini katanya, laporan akhbar oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) melaporkan Empangan Bakun tersenarai sebagai empangan yang ada masalah, mengancam dan perlu diperbaiki.

Bagaimanapun, jelasnya perkara ini dinafikan Sarawak Energy Berhad (SEB) pada hari berikutnya.

"Jadi nampaknya ada dua versi maklumat mengenai Empangan Bakun.

"Walaupun pihak SEB mengatakan Empangan Bakun dalam keadaan baik dan selamat, tetapi masih terdapat laporan mereka yang mengesahkan laporan awal oleh Fying Scuad yang mengatakan integriti struktur utama mempunyai kerosakan kecil yang dilaporkan dalam audit tidak memudaratkan
kestabilan struktur, dan telah diperbetulkan.

"Hakisan tanah kecil di cerun hilir Empangan Bakun dinilai sebagai tidak kritikal dan telah diselesaikan.

"Walaupun masalah yang dipetik tersebut telah diatasi (resolved), mengapa berita mengatakan empangan Bakun tidak selamat boleh dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC)?," soalnya lagi.

Tegasnya apa yang penting juga adalah, adalah langkah-langkah keselamatan jika sesuatu yang di luar jangka terjadi pada Empangan Bakun. 

"Adakah langkah-langkah kecemasan dan keselamatan disediakan oleh pihak SEB untuk rakyat di hilir mahupun hulu empangan Bakun?

"Kita perlu belajar daripada bencana akibat empangan yang berlaku di luar negara," ujarnya.
Next Post Previous Post