Sarawak hab teknologi yang dipercayai di rantau ini- Abang Johari

Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa berucap pada Majlis Perasmian WCIT dan IDECS 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.

KUCHING-- Dua acara berprestij yang dianjurkan di sini meletakkan Sarawak sebagai hab teknologi yang boleh dipercayai di rantau ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Memetik laporan UKAS, beliau memberitahu, dua acara itu Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT 2023) Edisi ke-27 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Edisi ke-6 (IDECS 2023) yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCC) bermula 4 hingga 6 Oktober ini.

Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg (tengah) menyaksikan sesi pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan PT Digital Mediatama Maxima TBK

Kedua-dua acara berprestij ini merupakan perhimpunan global untuk industri teknologi bertindak sebagai platform unik untuk merapatkan jurang dan mencipta peluang perniagaan dalam persekitaran perdagangan global. 

"Ini menyediakan ruang untuk menyambung dan menawarkan peluang yang tiada tandingan untuk menerokai barisan hadapan trend dan teknologi termaju.

Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg (tengah) menyaksikan sesi pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan beberapa rakan kongsi termasuk Telekom Malaysia

“Dengan kehadiran ribuan pemain industri antarabangsa, Sarawak berpeluang mempamerkan keupayaan dan infrastruktur bertaraf dunia. 

“Acara ini meletakkan Sarawak sebagai hab teknologi yang boleh dipercayai di rantau ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian WCIT dan IDECS 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini. 

Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg (tengah) semasa merasmikan WCIT dan IDECS 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan, kerajaan Sarawak komited untuk mencapai matlamat negeri ini ke arah ekonomi digital. 

Pada masa sama beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Sarawak komited untuk merealisasikan masa depan yang makmur dan mampan yang juga inklusif.

“Kita percaya bahawa masa depan digital adalah jalan ke hadapan dan matlamat kami adalah untuk menjadi ekonomi dan masyarakat digital yang terkemuka menjelang 2030,” ujarnya. 

Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg (tengah) di Majlis Perasmian WCIT dan IDECS 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.

Sebagai tuan rumah kepada WCIT dan IDECS 2023, katanya Sarawak terus membuktikan komitmennya dalam memajukan wawasan Sarawak untuk menjadi kuasa ekonomi digital di negara dan rantau ini. 

Pada acara itu turut berlangsung sesi pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan beberapa rakan kongsi termasuk Telekom Malaysia, Awakening Health LTD, PT Digital Mediatama Maxima TBK, Depa Thailand dan Farm Konekt. 

Turut berlangsung, MoU dan MoA di antara Axiomatic Resources Sdn Bhd dengan Sedi Engineering CO LTD, Pay & Go dengan Acotech, Karuna (Sarawak) Enterprise, Titian Jujur Sdn Bhd dengan Yunnan Universiti Of Finance & Economics dan lain-lain. 

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Pengerusi bersama WCIT Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi Perikatan Inovasi, Teknologi dan Perkhidmatan Dunia (WITSA) Dr Sean Seah.
Next Post Previous Post