Kerajaan Persekutuan setuju serahkan kuasa bidang pendidikan kritikal kepada Sarawak

Mesyuarat berhubung dengan Devolusi Pendidikan kepada Sarawak dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri di Bangunan Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR-- Kerajaan persekutuan pada dasarnya bersetuju untuk menurunkan kuasa bagi bidang pendidikan yang kritikal kepada Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Jelasnya dalam kenyataan hari ini, ia menerusi pertemuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) yang diketuai Menterinya, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bersama Timbalan-Timbalan Menterinya, Datuk Dr Annuar Rapa’ee Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap MEITD, Datu Azmi Bujang, Peguam Besar Sarawak, Datu Saferi Ali, pegawai MEITD dan pegawai EPU Sarawak di Bangunan Parlimen pada Khamis.

Beliau memberitahu, dalam pertemuan tersebut turut melibatkan para pegawai tinggi dari pelbagai kementerian dan jabatan persekutuan termasuk KPM, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

"Pertemuan ini susulan daripada mesyuarat sebelumnya mengenai penurunan kuasa autonomi ke atas hal ehwal pendidikan kepada Sarawak pada Ogos lepas.

"Dalam mesyuarat itu pada dasarnya telah bersetuju dengan hasrat Sarawak untuk menurunkan kuasa dalam bidang-bidang kritikal pendidikan kepada Sarawak," katanya.

Tambah Fadillah, mesyuarat itu juga mempersetujui bagi perkara yang bersifat operasi dan pentadbiran.

Untuk itu, katanya, kedua-dua KPM dan MEITD akan bertemu untuk memperhalusi butirannya.

Menurutnya, Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali ditugaskan untuk memulakan perbincangan mengenai perkara undang-undang berkaitan penurunan kuasa pendidikan, melibatkan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak. 

Pada masa sama, Fadillah memberitahum satu Jawatankuasa di antara KPM dan MEITD berkenaan autonomi pendidikan akan ditubuhkan segera.

"Langkah ini adalah untuk MEITD dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak menilai keberkesanan pelbagai program intervensi yang dimulakan oleh kerajaan negeri serta membantu KPM.

"Ia adalah bagi berkongsi data mengenai pendidikan di Sarawak khususnya mengenai keciciran pelajar dan data pencapaian pelajar," ujarnya.

Justeru, beliau mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan KPM bagi meneliti segera isu kekurangan lebih 3,000 guru di Sarawak dan mencadangkan penyelesaian termasuk membenarkan guru interim diserap ke dalam profesion perguruan.

Beliau turut meminta semua pihak mengemukakan laporan terperinci mengenai tindakan yang dipersetujui dalam tempoh satu bulan untuk dibawa ke Jawatankuasa Induk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Next Post Previous Post