Belanjawan bukti Malaysia Timur tidak diabai, pekebun kecil diperkasa, Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof bersama menteri kabinet Sarawak yang lain semasa menghadiri sesi pembentangan Belanjawan 2024 hari ini.

KUALA LUMPUR— Peningkatan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2024 berbanding 2023 membuktikan kesungguhan kerajaan persekutuan dalam memperjuangkan kesejahteraaan kedua-dua negeri itu, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana itu berkata, peruntukan pembangunan untuk Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion ringgit pada 2023, manakala, peruntukan bagi Sabah meningkat kepada RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion ringgit pada 2023.

“Penurunan kuasa untuk projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak dan peningkatan kadar pemberian khas interim juga membuktikan komitmen padu Kerajaan Perpaduan dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri.

“Belanjawan 2024 memperlihat tekad Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan agenda dan dasar yang memberi keutamaan menyeluruh khususnya untuk menjaga kebajikan dan hal ehwal kedua-dua negeri,” katanya dalam kenyataan mengenai Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Fadillah berkata, Kerajaan Persekutuan terus komited dalam meneruskan rundingan dan melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

“Antaranya Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 telah diluluskan di Dewan Rakyat bagi memperuntukkan wakil Kerajaan
Negeri Sabah yang dinamakan Ketua Menteri Sabah dan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak selaras dengan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963.

“Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada
Kerajaan negeri,” katanya.

Di samping itu katanya, Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Sabah telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, belanjawan tersebut turut memperkasakan pekebun kecil dengan mengangkat darjat rakyat untuk menikmati kehidupan lebih berkualiti terutamanya kepada golongan dalam sektor agrikomoditi.

“Belanjawan 2024 merangkumi reformasi dasar yang mendokong prinsip dan nilai Ekonomi MADANI menerusi penstrukturan semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia serta menaik taraf kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia. 

“Belanjawan 2024 dilihat mampu menyasarkan peningkatan daya saing Sektor Agrikomoditi menjadi industri High Growth, High Value (HGHV) melalui penerimaan pakai teknologi dan amalan mampan,” katanya.

Fadillah berkata, setakat Jun 2023, sektor agrikomoditi telah menyumbang RM38 bilion atau sekitar 5 peratus kepada KDNK dan RM77.4 bilion atau 11 peratus kepada eksport negara.

Katanya, Belanjawan 2024 memberi fokus kepada pembangunan Sektor Agrikomoditi dengan secara keseluruhannya sebanyak RM732.7 meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM428.31 juta serta perbelanjaan pembangunan pula sejumlah RM304.39 juta. 

Ia melibatkan pemberian RM100 juta bagi Insentif Program Tanam Semula Sawit akan ditawarkan secara geran dan pinjaman kepada 7,000 pekebun kecil sawit persendirian, RM70 juta bagi meningkatkan tahap kemampanan industri sawit serta memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit di pentas antarabangsa.

Selain itu RM10 juta bagi melaksanakan projek rintis penggunaan gas stimulan untuk manfaat pekebun kecil getah di ladang seluas 1,000 hektar.(iv) Peruntukan RM400 juta bagi kenaikan Harga Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.70 dinaikkan ke paras harga pengaktifan IPG kepada RM3.00 sekilogram.

Bagi peningkatan produktiviti hasil perladangan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing melalui mekanisasi dan automasi seperti dron dan kenderaan pandu sendiri, skop galakan cukai automasi akan diperluas untuk meliputi sektor komoditi di bawah KPK.

“Kementerian berazam memastikan kemampanan jangka panjang menerusi pelaksanaan reformasi dasar demi kelangsungan sektor agrikomoditi serta mengangkat darjat ekonomi rakyat terutamanya pekebun kecil yang merupakan nadi penghasilan produk komoditi negara.

“Ini bagi memastikan sumber kekayaan negara dapat diimbangi secara saksama,” katanya.
Next Post Previous Post