1,034 ‘hotspot’ banjir di Sarawak

KUCHING— Sebanyak 1,034 kawasan di seluruh Sarawak disenaraikan sebagai lokasi panas atau ‘hotspot’ banjir, tertinggi di negara.

Kawasan panas bencana itu membabitkan 12 daerah, iaitu Mukah, Sibu, Sarikei, Betong, Kuching, Bintulu, Serian, Limbang, Miri, Kapit, Sri Aman dan Samarahan.

Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Datuk Ahmad Izram Osman berkata, kebanyakan hotspot ini berhampiran badan air seperti sungai, pantai, tasik, air terjun dan juga anak sungai. 

“Sehubungan itu, kesemua 335 balai bomba di seluruh negara diarah memantau 4,795 hotspot banjir di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir berleluasa akibat monsun timur laut,” 

"Kami juga telah meletakkan sayap udara kami dalam keadaan berjaga-jaga untuk membantu di kawasan terputus atau membantu dalam pemindahan dan memantau kawasan tersebut,” katanya dipetik The Star.

Beliau menambah bahawa jabatan itu telah mengerahkan 572 bot dan 112 kenderaan berat ke balai bomba berhampiran kawasan hotspot.

Ahmad Izram berkata, persiapan menghadapi perubahan monsun bermula pertengahan bulan lalu dengan memaklumkan kesemua 335 balai bomba di seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan di kawasan hotspot.

"Jabatan itu berhubung rapat dengan Jabatan Meteorologi melalui laporan setiap empat jam untuk memeriksa corak cuaca negara,” katanya sambil menambah monsun dijangka berterusan sehingga Mac.

Selain 14,000 anggota bomba di seluruh negara, jabatan itu juga akan mengumpulkan 7,920 anggota bomba sukarela untuk membantu usaha bantuan banjir.

“Sebanyak 57,377 keluarga terdiri daripada 210,071 mangsa terjejas atau dipindahkan semasa banjir tahun lalu,” katanya sambil menambah pada masa sama, banjir turut meragut 12 nyawa.

Negeri lain turut mencatatkan hotspot yang tinggi ialah Kelantan (595), Pahang (554), Sabah (520) dan Johor (432).
Next Post Previous Post