Lelaki cedera parah, nyaris putus tangan selepas ditetak dengan parang di Matu

DARO— Seorang lelaki cedera di bahagian dahi, belakang kepala dan pergelangan tangan kanan hampir putus dan ibu jari sebelah kiri selepas ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dalam satu kejadian amuk di Matu, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Matu DSP Neil Beginda berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 1 pagi

“Setibanya di tempat kejadian mangsa seorang lelaki berumur 56 tahun didapati dalam keadaan berlumuran darah duduk di tangga rumah dengan kesan tetakan di bahagian dahi, belakang kepala, pergelangan tangan kanan hampir putus dan ibu jari sebelah kiri.

“Mangsa dibawa ke Klinik Tian di matu dan seterusya dirujuk ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Neil menambah, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan mash mendapat rawatan di Hospital Sibu.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun bersama parang yang digunakan untuk menetak manga.

“Suspek ditahan di lokap Balai Polis Daro dan direman sehingga 9 Oktober untuk siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Next Post Previous Post