Terlalu ramai subkontraktor punca banyak ‘projek sakit’ kerajaan di Lawas

Dato Henry Sum Agong

KUALA LUMPUR— Banyak ‘projek sakit’ di Lawas termasuk pembinaan Hospital Daerah Lawas yang baru, pusat pemeriksaan imigresen di sempadan negara dengan Indonesia di Ba'kelalan, dan dua sekolah rendah dikesan berpunca daripada terlalu ramai subkontraktor.

Ahli Parlimen Lawas Henry Sum Agong berkata, punca itu dikesan berdasarkan pemerhatiannya terhadap projek bermasalah di kawasannya sebelum ini.

“Banyak projek kerajaan tidak dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan berikutan penglibatan terlalu ramai subkontraktor.

“Lewat dan gagalnya pelaksanaan separuh daripada projek kerajaan berpunca daripada penglibatan banyak subkontraktor dalam kendalikan projek kerajaan,” katanya dipetik Malaysiakini.

Henry Sum mendedahkan perkara itu semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin.

Beliau berkata, masalah ini merugikan subkontraktor terakhir dan menyebabkan kerja pembinaan tidak dapat disiapkan.

“Ini menyebabkan kelewatan berlaku sehingga tender terpaksa ditarik balik untuk memberi ruang kepada tender baru melibatkan diri.

“Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan mengehadkan bilangan subkontraktor dalam mana-mana projek yang dibiayai kerajaan dan memberikan projek itu kepada kontraktor tempatan yang lebih arif termasuk kos binaan, pengangkutan dan perhubungan awam bagi menjamin kelancaran projek,” katanya.

Dalam pada itu beliau mencadangkan kerajaan Pakatan Harapan meneruskan projek infrastruktur yang dimulakan sebelum mereka mengambil alih pentadbiran, antaranya pembinaan Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) yang melalui Brunei, dan MRSM Lawas.
Next Post Previous Post