Persatuan Peguambela Sarawak kecam tindakan rusuhan di Kanowit, dakwa polis gagal kawal keselamatan

MIRI--Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir individu yang didakwa terlibat dalam rusuhan di perkarangan Pejabat Daerah Kanowit pada Selasa.

Memetik laporan The Borneo Post, Presiden AAS Gurvir Singh Sandhu dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya merasa bimbang dan amat kesal dengan insiden yang berlaku itu.

“Seperti yang disahkan dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan polis pada 13 September, kekecohan berlaku selepas individu tertentu didakwa di mahkamah atas satu insiden.

“Apa yang mengejutkan ialah tindakan individu tertentu menceroboh kawasan sekitar Pejabat Daerah (yang juga merupakan pejabat Mahkamah Majistret) dan mula menyerang individu lain di pejabat itu,” katanya.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, polis mempunyai tanggungjawab untuk memperjelaskan mengapa jumlah anggota tidak mencukupi di perkarangan pejabat itu meskipun mengetahui kehadiran orang ramai yang telah mengepung premis tersebut pada awal pagi ketika prosiding mahkamah sedang berjalan.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah anggota polis telah meninggalkan tempat kejadian walaupun melihat orang ramai masih mengelilingi bangunan pejabat daerah, menyebabkan kakitangan mahkamah, tertuduh dan peguam bela tidak dapat mempertahankan diri.

“Adalah menjadi tanggungjawab polis untuk memastikan ketenteraman dan keselamatan semasa prosiding sedemikian,” kata Singh.

Beliau menegaskan bahawa "kesucian" mahkamah telah terhakis dengan tindakan sedemikian, dan menggesa polis untuk mengambil tindakan segera dan menyiasat individu yang bertanggungjawab ke atas insiden yang tidak bertanggungjawab itu.

"Jangan ragu bahawa anggota AAS akan terus menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih walaupun terdapat taktik ugutan yang digunakan oleh individu tertentu," katanya.

Baru-baru ini, dua orang cedera dalam kejadian itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dalam satu kenyataan berkata, polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kes itu. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Next Post Previous Post